Thursday, January 11, 2007

FTA Malaysia-Amerika Bakal Hancurkan Industri Padi dan Beras Negara

Kita bimbang akan kesan negatif pada negara khususnya sektor pertanian jika perjanjian Free Trade Agreement (FTA) Malaysia-Amerika menjadi kenyataan selewat-lewatnya pada bulan Jun 2007 ini. Perlaksanaannya pula akan bermula pada tahun 2010.

Semua pihak bimbang Amerika akan mendesak Malaysia supaya menghapuskan semua bentuk percukaian apabila FTA dilaksanakan nanti.

Sebagai contoh, jika cukai dikurangkan, beras Amerika yang disokong subsidi yang tinggi oleh kerajaan negara itu akan dapat dijual di pasaran Malaysia pada harga 25 peratus di bawah kos pengeluaran. Cukai beras Malaysia kini adalah pada kadar 40 peratus dan akan turun kepada 20 peratus pada 2010 ekoran pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA).

Dijangkakan adalah sukar untuk pengusaha beras di Malaysia bersaing di bawah AFTA pada kadar cukai 20 peratus. Keadaan akan lebih buruk jika cukai beras jatuh kepada sifar atas desakan Amerika dalam AFTA. Kesannyanya, para petani di Malaysia tidak akan mampu lagi untuk bersaing.

Jika beras dari Amerika berlambak di pasaran Malaysia dengan cukai sifar, harganya lebih rendah iaitu sekitar RM0.50 sekilogram berbanding beras tempatan yang dijual pada harga melebihi RM1 sekilogram.

Jika beras dari Amerika boleh beli pada harga lebih murah dari beras tempatan, apa perlunya lagi para petani menanam padi? Pesawah padi akan kehilangan punca pendapatan dan sawah-sawah padi nanti bakal terbiar.

Seramai 269,000 petani di Malaysia masih bergantung kepada pertanian padi sebagai sumber rezeki dengan sejumlah 116,000 petani bergantung semata-mata kepada pertanian padi tanpa terlibat dengan kegiatan ekonomi sampingan.

Pengeluaran padi negara akan terbantut jika AFTA menjadi kenyataan dan ramai petani akan kehilangan kerja nanti.

Adalah diharapkan agar kerajaan Malaysia menagguhkan perlaksanaan FTA Malaysia-Amerika ini sehingga kesan pelaksanaan perjanjian itu kepada petani-petani di negara ini dapat dikaji dengan terperinci. Jika rundingan itu diteruskan juga, segala maklumat hendaklah didedahkan kepada pihak awam dan perbincangan hendaklah secara telus bersama para petani.

Buat masa ini, 35 peratus beras dalam negara diimpot dari beberapa buah negara termasuk Thailand, Vietnam, Pakistan, India dan Australia.
(petikan: utusan malaysia, 11 jan 2007)

Archives